Thursday, June 5, 2008

JKKK diarah sabotaj S'gor, kata PKR - Malaysiakini

Jimadie Shah Othman | Jun 5, 08 1:57pm

Tan Sri Muhammad Muhd Taib didakwa mengarahkan sekumpulan ketua kampung dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor "mengacau" pentadbiran kerajaan negeri.

Senator itu, yang juga ketua penerangan Umno, didakwa mengadakan sebuah pertemuan dengan kumpulan ini di sebuah hotel di Shah Alam tidak lama selepas dilantik sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah pada Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, beliau menggariskan beberapa langkah yang perlu dilakukan oleh ketua kampung dan ahli JKKK untuk mengganggu kerajaan negeri yang kini ditadbir Pakatan Rakyat, kata satu sumber PKR kepada Malaysiakini hari ini.

"Muhammad berkata, (dalam pertemuan itu) jangan terima arahan daripada setiausaha kerajaan dan pegawai daerah.

"Jangan letak jawatan. Dapat elaun, (tetapi) buat bodoh saja. Kalau (kerajaan) negeri tidak bagi duit, (kerajaan) pusat akan bagi," kata sumber itu, dengan mendakwa maklumat didedahkan kepadanya oleh seorang penghulu yang hadir.

Kelmarin, Muhammad memberitahu Dewan Negara bahawa kerajaan persekutuan terpaksa mengadakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di empat negeri Pakatan "bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan persekutuan di peringkat kampung."

Beliau juga mendakwa empat negeri yang dikuasai Pakatan sejak pilihanraya Mac lepas "bertindak agresif" dengan menukar pegawai dan menghalau agensi kerajaan keluar dari bangunan yang ditadbir mereka.

Menurut sumber itu lagi, Muhammad juga merancang membuat penyelarasan pengurusan JKKK di peringkat persekutuan dengan mewujudkan jawatan baru – penyelaras daerah di negeri-negeri Pakatan.

"Pusat akan melantik penyelaras daerah di negeri-negeri pembangkang, di bawah kementerian beliaulah," kata sumber.

Ditanya tujuan jawatan itu diwujudkan, sumber itu berkata: "mungkin untuk menyelaraskan dana daripada pusat kepada JKKK."

Muhammad, yang juga ketua perhubungan Umno Selangor, turut meminta ahli JKKK "mengacau" setiausaha politik kepada menteri besar negeri itu Nik Nazmi Nik Nik Ahmad, tambah sumber.

"Kacau Nik Nazmi. Dia (masih) bujang, muda dan dia setiausaha politik Tan Sri Khalid (Ibrahim)," katanya, yang juga seorang pembantu wakil rakyat PKR.

"Tidak tahulah kacau macam mana, … tidak tahulah, tetapi beliau sebut bujang, muda, setiausaha politik Tan Sri Khalid," kata sumber.

(Nik Nazmi, juga ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, telah berkahwin selama lebih dua tahun. Isterinya dilaporkan sedang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Newcastle dan dijangka pulang bulan depan.)

Merampas kembali Selangor

Menteri itu didakwa meminta semua ahli JKKK bekerja untuk mengambil semula Selangor yang kini jatuh kepada Pakatan.

"Muhammad membuat kesimpulan bahawa semua JKKK mesti bekerja keras merampas kembali Selangor daripada Pakatan," kata sumber.

Muhammad juga didakwa berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya dibiarkan menjadi perdana menteri kerana ketua umum PKR itu "mahu menjual negara".

"Muhammad juga berkata, jangan bagi Anwar perintah (Malaysia) sebab Anwar mahu menjual negara. Sebab itu dulu (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) pecatnya.

"Beliau sebut, contohnya, macam (ketika krisis kewangan 1997) Anwar nak IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa)," kata sumber.

Pemimpin Umno itu juga menuduh PKR berfahaman sosialis dan tidak memperjuangkan Melayu seperti Umno.

"PKR parti sosialis, sebab itu bergabung dengan Parti Rakyat (Malaysia). PKR bukan parti nasionalis macam Umno," kata sumber, yang mendakwa maklumat dalam taklimat itu diberikan kepadanya sehari selepas pertemuan tersebut.

Semalam, Khalid menyatakan Selangor bersedia melantik ketua kampung dan JKKK, termasuk anggota Umno, jika mereka sanggup berkhidmat kepada masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

"Pada pandangan kerajaan negeri, ketua kampung sepatutnya mesti menjadi ketua kampung untuk semua masyarakat di kampung tanpa kira fahaman politik.

"Pada saya kalau orang itu sanggup kerja untuk semua masyarakat, ia memenuhi kriteria yang kita perlukan," beliau dipetik sebagai berkata, sambil menambah kriteria itu akan dijadikan kayu ukur oleh pegawai daerah yang mencadangkan calon-calon yang layak mengisi jawatan tersebut.

Khalid turut menafikan dakwaan Muhammad bahawa kerajaan Selangor "bersikap agresif" apabila menghalau keluar operasi sebuah stesen radio dari bangunan setiausaha kerajaan negeri itu.

"Kami tidak halau tetapi mereka yang merajuk. Saya cakap kalau kita tak boleh guna Radio Selangor untuk beri penerangan tentang pembangunan di negeri ini, jadi buat apalah mereka dipanggil FM Selangor," katanya.

No comments: