Tuesday, May 20, 2008

Mano rayu Sultan S'gor campurtangan - Malaysiakini

May 20, 08 4:14pm

Wakil rakyat Kota Alam Shah, M Manoharan yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merayu Sultan Selangor dan kerajaan negeri agar campur tangan membebaskannya segera untuk berkhidmat kepada pengundi.

"Apa faedahnya bagi kerajaan pusat untuk meneruskan penahanan kerana saya bukan ancaman kepada keselamatan negara dan saya tidak pernah ada sebarang kaitan dengan mana-mana pertubuhan
pengganas seperti yang didakwa oleh kerajaan pusat," kata ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam satu kenyataan hari ini.

Manoharan mendakwa tuduhan terhadapnya itu berniat jahat dan penuh dengan kepalsuan.

"Dan kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu telah mempersoalkan integriti saya dan dan para pengundi dan pada pandangan saya, ia menghina proses demokrasi.

"Di samping itu, kehadiran saya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor esok adalah penting untuk menyaksikan titah ucapan perasmian oleh Sultan Selangor," katanya, dari kem tahanan Kamunting di Taiping.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac, Manoharan yang mewakili DAP menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

Beliau mendapat 12,699 undi untuk menewaskan calon Gerakan, Ching Su Chen yang memperolehi 5,515 undi.

Manohan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember lalu bawah ISA selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.

Gesa timbang semula

Kesemua Adun di Selangor, kecuali Manoharan, mengangkat sumpah pada 22 April lalu. Manoharan pula berbuat demikian pada 8 Mei lalu di kem tahanannya di hadapan yang dipertua DUN Selangor, Teng Chang Khim.

Manoharan mendakwa, sekiranya beliau tidak hadir di majlis perasmian esok, ia sebagai satu tindakan yang tidak menghormati Sultan Selangor serta Dewan Undangan Negeri.

Oleh itu, Manoharan menggesa kerajaan pusat supaya menimbang semula permohonannya dan bertindak secara rasional dalam perkara tersebut.

Di samping itu, beliau juga menggesa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor supaya mengutuk sekeras-kerasnya pelakuan, tindak-tanduk dan cara perkara itu dikendalikan oleh kerajaan BN.

"Ketidakhadiran saya di dewan akan menafikan saya untuk membangkitkan perkara-perkara penting untuk melindungi para pengundi (di kawasan pilihanraya) saya," katanya.

Manoharan juga menegaskan bahawa tindakan tidak membenarkan beliau hadir untuk mengangkat sumpah di DUN pada 22 April lalu, juga menafikan haknya untuk mengemukakan 10 soalan yang
telahpun disediakan lebih awal.

Beliau berkata, seandainya permohonannya untuk mengangkat sumpah di DUN dipenuhi, maka tidak akan timbul masalah berlakunya kelewatan untuk berbuat demikian.

"Saya, sekali lagi sebagai rakyat baginda dan seorang yang dipilih sebagai wakil rakyat, merayu kepada baginda Sultan Selangor supaya campur tangan untuk membolehkan saya berkhidmat kepada para pengundi, yang merupakan rakyat baginda dan kerajaan negeri baginda," katanya.

No comments: